Ambil ubat di hospital lagi mudah dengan aplikasi MyUBAT

May 7, 2024



Assalamualaikum dan hai. Mikhail sehingga sekarang masih ada lagi temu janji dengan doktor pakar di klinik pakar di hospital dan masih dibekalkan dengan vitamin dan ubat. Jadi sebelum tarikh temu janji memang kena ambil ubat susulan di hospital.  Dulu sebelum tahu adanya MyUBAT ni memang lama la menunggu tapi sekarang dah mudah dengan adanya aplikasi MyUBAT ni. CR dulu pun tak tahu kewujudan aplikasi ni sebelum diberitahu info ni melalui pegawai farmasi di kaunter. 

APAKAH ITU MYUBAT


MyUBAT adalah sistem perkhidmatan pembekalan ubat susulan kepada pesakit yang menerima rawatan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia untuk :

1. Memudahkan urusan pendaftaran serta pengambilan bekalan ubat susulan pesakit.
2. Membolehkan pesakit memantau janji temu perkhidmatan pembekalan ubat susulan.

Bagaimana nak gunakan MyUBAT? MyUBAT boleh diakses dengan menggunakan telefon pintar, tablet, komputer dan laptop. Jadi ianya sangat memudahkan untuk kita akses MyUbat dimana-mana sahaja.

PENDAFTARAN PENGGUNA BARU


1. Muat turun aplikasi MyUbat melalui Google Play, Apple Store atau AppGallery.
2. Pilih Log Masuk kali pertama.
3. Lengkapkan profil diri yang diminta.

JENIS PERKHIDMATAN 


1. Ubat melalui pos

Sekiranya pesakit tidak dapat mengambil bekalan ubat susulan di kaunter farmasi, ubat pesakit boleh dihantar oleh syarikat penghantaran ke lokasi pilihan pesakit dengan caj tertentu. Bayaran akan dibuat secara tunai oleh pesakit kepada pihak syarikat penghantaran semasa menerima bekalan ubat.

2. Farmasi Pandu Lalu

Di sesetengah fasiliti kesihatan, pesakit tidak perlu mencari tempat letak kenderaan atau menunggu di kaunter farmasi untuk mengambil bekalan ubat susulan. Sebaliknya ,pesakit boleh menggunakan kemudahan farmasi pandu lalu dan hanya mengambil ubat melalui serahan tingkap.

3. Lokar ubat

Lokar ubat berkunci disediakan di lokasi yang strategik untuk memudahkan akses pesakit dalam mengambil bekalan ubat susulan. Pesakit boleh mengambil bekalan ubat susulan melalui lokar ubat pada waktu yang lebih fleksibel mengikut kesesuaian pesakit.

4. Janji temu di kaunter Farmasi

Melalui janji temu ,pesakit boleh mendapatkan bekalan ubat susulan di fasiliti kesihatan pada tarikh temu janji yang dipersetujui antara pesakit dan pihak farmasi. Pesakit tidak perlu menunggu lama kerana bekalan ubat akan disediakan lebih awal dari tarikh temu janji.


PERMOHONAN BAHARU


1. Klik MOHON BAHARU.
2. Pilih Negeri, Jenis Fasiliti dan Pilih Fasiliti anda iaitu hospital atau klinik yang anda kena pergi.
3. Pilih Perkhidmatan apa yang anda nak guna.
4. Isi maklumat ubat dan tarikh temu janji akan datang.
5. Klik Hantar Permohonan. 

Bila dah klik hantar permohonan, kita kena tunggu sehari dua untuk pengesahan. Jika diluluskan akan keluar tarikh untuk kita ambil bekalan ubat susulan. Mudah bukan? Dulu CR guna perkhidmatan janji temu di kaunter farmasi tetapi selalu masa tak kena, sebab CR kerja. 

Jadi CR tukar kepada perkhidmatan Lokar Ubat dan sangatlah mudah guna perkhidmatan ni. Nanti di aplikasi dia akan bagi tarikh yang kita boleh ambil bekalan ubat dan no lokar ubat kita berserta kod lokar. Jadi bila-bila kita boleh pergi ambil dalam tempoh yang diberikan. Mudah bukan?


© Blog Cik Renex